Rabu, 24 November 2021 | 12:59pm
Bungkusan berisi ganja yang dirampas pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu. - Foto ihsan PDRM
Bungkusan berisi ganja yang dirampas pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu. - Foto ihsan PDRM

Polis tahan pasangan kekasih edar dadah

KOTA KINABALU: Polis menahan tiga individu, termasuk pasangan kekasih, kerana disyaki mengedar dadah dalam dua serbuan berasingan di bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata serbuan petugas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu berjaya merampas kira-kira 2.5 kilogram dadah jenis ganja.

"Serbuan pertama dijalankan pada jam 7.30 malam di Taman Suria Kobusak, di sini dan menahan seorang wanita berusia 20 tahun bersama 1,711 gram dadah jenis ganja yang disembunyikan di dalam rumah.

"Polis turut merampas telefon bimbit dan komputer riba serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk pembungkusan dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, serbuan kedua dijalankan pada jam 11.35 malam di KK Times Square dan polis menahan pasangan kekasih berusia 21 dan 22 tahun.

Katanya, pasukan operasi menemui beberapa ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 872.16 gram dan kedua-dua suspek juga didapati positif dadah.

"Semua bekalan ganja berkenaan diperoleh melalui perkhidmatan kurier dari Semenanjung, sebelum diedarkan di sekitar bandar raya ini," katanya.

Mohd Zaidi berkata, semua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati.

"Ketiga-tiga suspek direman bermula hari ini," katanya.

Berita Harian X