Rabu, 24 November 2021 | 11:25am
Wanita tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kedah pagi tadi. - Foto BOMBA
Wanita tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kedah pagi tadi. - Foto BOMBA

Dua maut dalam kemalangan berasingan

ALOR SETAR: Seorang penumpang kereta dan seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan di dua tempat berasingan di negeri ini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata kejadian pertama kira-kira jam 12 tengah malam tadi di Kilometer 172.9 Lebuh Raya Utara Selatan, membabitkan sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki dan seorang wanita.

"Seorang mangsa, iaitu wanita ditemui di bawah lori kontena dipercayai tercampak ketika kemalangan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi," katanya di sini, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, seorang lagi mangsa iaitu pemandu berusia 20-an yang tersepit dalam kereta yang remuk itu berjaya dikeluarkan pada jam 3.36 pagi dan cedera ringan.

Beliau berkata, operasi dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang.

Mohamadul berkata, dalam kejadian berasingan di Kilometer 68 lebuh raya sama hari ini, seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

Katanya, kemalangan berlaku jam 7.41 pagi tadi dan operasi disertai anggota dari BBP Guar Chempedak.

Petugas membersih jalan selepas penunggang motosikal maut dalam kemalangan dengan tiga kenderaan di Kilometer 68 Lebuhraya Utara Selatan, pagi tadi. - Foto BOMBA
Petugas membersih jalan selepas penunggang motosikal maut dalam kemalangan dengan tiga kenderaan di Kilometer 68 Lebuhraya Utara Selatan, pagi tadi. - Foto BOMBA

Berita Harian X