Rabu, 24 November 2021 | 10:32am
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang melakukan kerja menyelamatkan mangsa yang tersepit. NSTP/ IHSAN BOMBA SELANGOR
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang melakukan kerja menyelamatkan mangsa yang tersepit. NSTP/ IHSAN BOMBA SELANGOR

Wanita maut kereta terbabas

KLANG: Seorang wanita maut selepas kenderaan dinaiki terbabas ke dalam parit di Jalan Sungai Puloh, Persiaran Batu Belah, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata mangsa berusia 35 tahun bersama rakan lelaki dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Puchong, selepas mencari alat ganti kenderaan di Klang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, katanya, kenderaan yang dipandu rakan lelaki mangsa, datang dari arah Lorong Sungai Puloh menghala ke Persiaran Batu Belah.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh tajam dan melanggar pokok, lalu terbabas ke dalam parit.

"Mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan, dipercayai lemas kerana tersepit di dalam kenderaan.

"Mangsa dikeluarkan oleh bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vijaya Rao berkata, pemandu cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan lanjut.

"Belum ada saksi yang tampil. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan," katanya.

Berita Harian X