Selasa, 23 November 2021 | 8:06pm
- Foto hiasan / FAIL NSTP
- Foto hiasan / FAIL NSTP

Pegawai perubatan kekal bebas tuduhan bunuh kerani

PUTRAJAYA: Seorang penolong pegawai perubatan di sebuah hospital menarik nafas lega selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan pembebasannya daripada pertuduhan membunuh seorang kerani wanita sebuah sekolah agama di Bukit Pasir, Muar, enam tahun lalu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel tiga hakim berkata, tiada kekhilafan dilakukan hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zurailie Muhamad, 36.

"Oleh yang demikian, rayuan pendakwa raya selaku perayu ditolak. Keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dikekalkan," kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Pendakwa Raya merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 November 2019 yang mengekalkan pembebasan Zurailie daripada pertuduhan membunuh selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 28 Januari 2018, melepas dan membebaskan lelaki itu tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan.

Zurailie didakwa membunuh Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, yang juga jirannya di rumah mangsa di Jalan Sungai Terap, Muar, antara jam 2.05 petang dan 2.30 petang, 16 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan pihak pendakwaan tidak dapat menunjukkan kehadiran profil asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh pada tubuh dan pakaian si mati, selain ada kelompongan dalam kes pendakwaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd Salleh, berhujah wujud keterangan mencukupi yang boleh mengaitkan responden (Zurailie) dengan kematian mangsa.

"Ada keterangan saksi pendakwaan menyatakan responden berhutang dengan kawannya dan sehari selepas kejadian itu (bunuh), responden menyerahkan telefon bimbit si mati kepada seorang individu bagi melunaskan hutangnya selain turut menjual barang kemas si mati di sebuah kedai emas pada harga RM1,000.

"Keterangan itu menunjukkan responden memiliki telefon bimbit dan barang kemas termasuk rantai leher dan rantai tangan si mati tidak sampai 24 jam selepas kejadian berkenaan," katanya yang memaklumkan kesanggupan lelaki itu memanjat pagar balai polis dan melarikan diri ketika disoal siasat oleh polis turut menimbulkan keraguan.

Faizah berhujah, tindakan responden berkali-kali memujuk suami si mati supaya tidak membenarkan bedah siasat dijalankan ke atas isterinya sesuatu yang pelik kerana sebagai individu yang bekerja di bidang kesihatan, responden sepatutnya tahu pentingnya bedah siasat dilakukan.

Katanya, keterangan saksi pendakwaan menunjukkan suami si mati pergi ke tempat kerja keesokan paginya dan ketika kejadian bunuh itu berlaku sekitar 2.30 petang, beliau masih berada di tempat kerjanya di Ulu Tiram, Johor Bahru.

Faizah berkata, DNA si mati pada kukunya menunjukkan mangsa cuba melonggarkan jerutan pada lehernya.

Peguam Nahdan Rengganathan Abdullah, yang mewakili Zurailie berhujah, tiada apa-apa bukti yang menunjukkan pembabitan anak guamnya dalam mencederakan dan membunuh si mati.

"Laporan DNA tidak menunjukkan adanya darah atau DNA responden pada tubuh atau pakaian si mati mahupun darah atau DNA si mati dijumpai pada diri atau pakaian responden yang dirampas oleh pihak polis," katanya.

Nahdan berkata, pegawai penyiasat juga gagal menjalankan siasatan terperinci berhubung isu berkaitan barang kemas dan telefon bimbit si mati yang kononnya dijual oleh responden.

Zurailie ketika ditemui media selepas prosiding dengan gembira berkata, "Bebas." – BERNAMA

Berita Harian X