Selasa, 23 November 2021 | 4:23pm
Dua lelaki, M Murugan,44, (dua kiri) dan Wong Yon Kuan,43, (dua kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson atas tiga pertuduhan membunuh, menculik dan menyamar sebagai anggota polis dua minggu lalu. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Dua lelaki, M Murugan,44, (dua kiri) dan Wong Yon Kuan,43, (dua kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson atas tiga pertuduhan membunuh, menculik dan menyamar sebagai anggota polis dua minggu lalu. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Dua lelaki dituduh kes culik, bunuh

PORT DICKSON: Dua lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh, menculik dan menyamar sebagai anggota polis di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut dua minggu lalu.

Tertuduh M Murugan, 44, seorang ketua pengawal keselamatan dan penganggur Wong Yon Kuan, 43, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret V Vanita.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan tiada ikat jamin dibenarkan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh bersama-sama tiga individu yang masih bebas didakwa membunuh juruteknik, A Vasudevan, 39, di Bandar Springhill, Lukut, di sini, antara jam 5.40 pagi hingga jam 9.45 pagi pada 13 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Murugan dan Wong bersama tiga individu yang masih bebas didakwa melarikan Vasudevan pada masa dan lokasi sama dan didakwa mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa bersama-sama tiga individu yang masih bebas menyamar sebagai sebagai penjawat awam iaitu anggota polis pada isteri mangsa, S Hindumathy, 38, di tempat dan masa sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 23 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nur Athirah Zainuddin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam T Harpal Singh.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed dalam kenyataan memaklumkan polis sedang giat memburu empat lagi lelaki dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Menurutnya mereka ialah A Davadas, 41, beralamat di Rawang, Selangor; S. Panirselvam, 31, (Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur); P Xavier, 42, (Rawang) dan C Murugan (Romeo),40, dari Selayang, Selangor.

Mengikut laporan media, tertuduh menyamar sebagai anggota polis telah berkunjung ke rumah mangsa dan memaklumkan kedatangan mereka untuk siasatan kes samun dan seterusnya meminta isteri mangsa mengeluarkan barangan kemas hasil daripada samun dilakukan oleh suaminya.

Kemudian tertuduh mengarahkan mangsa mengikut mereka dengan menaiki sebuah van di hadapan rumah.

Bagaimanapun, mangsa enggan menyebabkan tertuduh memukul dan mengheretnya ke dalam van sebelum dilarikan.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Selayang pada jam 4.30 petang pada hari yang sama. – BERNAMA

Berita Harian X