Selasa, 23 November 2021 | 12:11pm

Polis buru 4 lelaki menculik, membunuh

PORT DICKSON: Polis memburu empat lelaki termasuk seorang saksi kejadian dipercayai terbabit dalam kes menyamar sebagai anggota polis, menculik dan membunuh seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut pada 13 November lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, semua suspek yang masih bebas dipercayai terbabit dalam jenayah itu bersama dua lagi rakan mereka yang diberkas polis di sebuah rumah dekat Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur, pada 14 November lalu.

Katanya, dua lelaki terbabit didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini selepas direman selama 10 hari sejak 14 November lalu, untuk siasatan.

"Empat lelaki terbabit akan dituduh mengikut Seksyen 302/ 364/170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati bersama dua lagi rakan mereka yang didakwa hari ini dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun yang sama," katanya hari ini.

Empat lelaki yang diburu polis itu adalah A Davadas (Deva), 41, beralamat di No 4 Batu 15 ½ Templer Park, Rawang, Selangor; P Xavier (Beckam @ Bob), 42, beralamat di 02-12 Blok Selasih, Taman Tun Teja, Batu 6, Rawang, Selangor.

Dua lagi lelaki, C Murugan (Romeo), 40, beralamat di No 717, Tingkat 6, Blok C, Taman Prima Selayang, Batu Cave, Selangor dan S Panirselvam (Panir), 31, beralamat di 10-1-23 Jalan 2/1a, Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur," katanya.

Sebelum media melaporkan, dua lelaki ditahan kerana menyamar polis dan menculik serta membunuh.

Ia berikutan polis menerima aduan daripada isteri mangsa berumur 38 tahun yang mengatakan suaminya dilarikan sekumpulan lelaki dan 'polis' ketika berada di rumah di Bandar Springhill, Lukut, 14 November lalu.

Polis menerima panggilan pada jam sekitar 4.30 petang hari yang sama, memaklumkan suami mangsa berada di Hospital Selayang, Selangor.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 pagi oleh Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Selayang.

Berita Harian X