Selasa, 23 November 2021 | 7:31am

Dua lelaki menyamar polis, culik, bunuh akan didakwa

PORT DICKSON: Dua suspek yang dipercayai telah menculik dan membunuh seorang lelaki yang dilarikan semasa berada di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut, di sini pada 13 November lepas, akan didakwa di Mahkamah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata dua suspek yang masing-masing berusia 43 dan 44 tahun itu, akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Port Dickson pada 9 pagi.

"Pada 13 November lepas, seorang wanita iaitu isteri mangsa membuat laporan polis mengenai suaminya didatangi oleh suspek, yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis untuk siasatan kes samun, lalu bertindak memukul suami mangsa dan mengheret masuk ke dalam van sebelum dilarikan.

"Pada hari yang sama, pihak polis telah dimaklumkan bahawa suami mangsa telah disahkan meninggal dunia pada pukul 9.45 pagi, oleh Pegawai Perubatan di Hospital Selayang.

Susulan itu bertindak atas maklumat, pihak polis telah membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur pada keesokan hari, dan menangkap dua suspek lelaki yang berada dalam rumah berkenaan.

– BERNAMA

Foto hiasan
Foto hiasan
Berita Harian X