TAPAH: Jalan Tapah-Cameron Highlands dekat Batu 25 dan 26 terhalang kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, polis menerima laporan kejadian terbabit daripada orang awam kira-kira jam 4.25 petang tadi.
"Tiang elektrik di tempat kejadian tumbang tetapi tidak membabitkan mangsa. Pihak polis menghantar pasukan unit kereta peronda (MPV) ke tempat kejadian namun sehingga kini belum menerima maklumat lanjut," katanya.
Wan Azharuddin berkata, kejadian terbabit turut dilaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands.
Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR), Syarikat Belati Wangsa dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dimaklumkan bagi menjalankan kerja pembersihan di lokasi terbabit.