Isnin, 22 November 2021 | 1:21pm

Kakitangan RELA didakwa tuntutan palsu

ALOR SETAR: Seramai empat kakitangan tetap Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, di sini, hari ini, atas tuduhan membuat tuntutan palsu elaun penugasan rondaan keselamatan berjumlah RM59,520 pada tahun 2019.

Tertuduh, Mohd Khairul Anuar Maliki, 32, Idrus Zakaria, 47, Siti Munirah Abdul Rahim, 35 dan Sahrol Miza Samad, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mengemukakan pengakuan baucar tuntutan elaun kepada anggota RELA yang terbabit dalam penugasan rondaan sempena Bulan Kemerdekaan bagi daerah Kulim pada 2019.

Dokumen itu mengandungi butiran palsu berkenaan jumlah pembayaran RM59,520, kononnya bagi anggota RELA yang menjalankan penugasan rondaan, namun penugasan berkenaan tidak dilaksanakan.

Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat RELA Kedah, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini, pada 10 September 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai berkenaan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Siew Ping, manakala semua tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan sebutan semula bagi serahan dokumen pada 27 Disember depan.

Semua tertuduh kemudian membayar wang jaminan.

Anggota RELA didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Anggota RELA didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Berita Harian X