Ahad, 21 November 2021 | 2:23pm
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kluang di Johor, hari ini, selepas mengaku bersalah menggunakan wang palsu untuk berbelanja. NSTP/Mohamad Fahd Rahmat
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kluang di Johor, hari ini, selepas mengaku bersalah menggunakan wang palsu untuk berbelanja. NSTP/Mohamad Fahd Rahmat

Pekerja binaan dipenjara enam tahun guna wang palsu

KLUANG: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kluang, hari ini, selepas mengaku bersalah menggunakan wang palsu untuk berbelanja.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, Lim Lai Kok, 53, didakwa menggunakan not RM100 untuk berbelanja di sebuah kedai kasut di Taman Sri Tengah di sini, pada jam 3.30 petang 7 November lalu.

Mengikut fakta kes tertuduh membeli sebuah beg kulit berharga RM30 di kedai berkenaan sebelum pemilik kedai menyedari wang RM100 diberi adalah wang palsu dan melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Hasil pemeriksaan, polis menemui satu lagi not wang palsu bernilai RM100 dalam milikan tertuduh.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan wang palsu RM100 untuk membeli dakwat mesin pencetak yang kemudian didapati palsu oleh pemilik kedai di Jalan Lambak di sini pada jam 1.24 petang hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Lai Kok yang bekerja sebagai pekerja binaan berkata, pendapatannya tidak menentu selain perlu menanggung nafkah keluarga termasuk isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.

Tertuduh yang merayu hukuman lebih ringan berkata, dia terpaksa berbuat demikian berikutan terdesak kerana tiada wang untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya, selain keadaan kesihatannya yang tidak baik.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah bagaimanapun berkata, ini bukan kesalahan pertama tertuduh dan hukuman lebih berat sewajarnya dikenakan ke atas tertuduh untuk kesedaran dirinya dan masyarakat bahawa penggunaan wang palsu adalah dilarang.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Mahkamah Sesyen Mujib Saroji memerintahkan tertuduh dihukum tiga tahun penjara atas setiap pertuduhan dan hukuman berjalan dari tarikh penahanan tertuduh.

Berita Harian X