Ahad, 21 November 2021 | 1:07pm
Lapan individu tanpa dokumen bersama alat mengebom ikan ditahan di perairan Pulau Billean, Jambongan, semalam. - NSTP/Ihsan PPM Sandakan
Lapan individu tanpa dokumen bersama alat mengebom ikan ditahan di perairan Pulau Billean, Jambongan, semalam. - NSTP/Ihsan PPM Sandakan

Budak antara 8 ditahan disyaki guna bom ikan

BELURAN: Pasukan Polis Marin Sandakan (PPM) menahan lapan lelaki tanpa dokumen perjalanan sah bersama peralatan bom ikan dalam Op Gelora Khas di perairan Pulau Billean, Jambongan, semalam.

Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi itu, semua suspek berusia antara lapan hingga 50 tahun, termasuk seorang kanak-kanak lelaki.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata pasukan PPM sedang menjalankan rondaan sebelum mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik mengesan dua bot nelayan berkenaan, pasukan operasi menghampiri mereka untuk pemeriksaan dan mendapati, semua individu gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemui beberapa peralatan untuk aktiviti pengeboman ikan bersama pelbagai hasil laut.

"Semua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Pangkalan Marin Sandakan kerana disyaki menjalankan aktiviti mengebom ikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin, berkata peralatan dirampas seperti detonator, botol kaca, mancis kayu dan hos dan pelbagai hasil laut.

"Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

"Nilai rampasan dianggarkan RM43,920 dan kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Berita Harian X