Jumaat, 22 Oktober 2021 | 9:49pm

Tahan seorang, polis jumpa dadah RM1.17 juta di empat lokasi

KUALA LUMPUR: Taktik seorang penganggur menyewa dua unit kediaman untuk dijadikan stor penyimpanan dadah di sebuah residensi mewah dekat Kajang terbongkar selepas lelaki itu ditahan polis, Selasa lalu.

Dalam serbuan pada jam 1.30 tengah hari, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menahan suspek berusia 31 tahun di kawasan parkir residensi berkenaan, yang seterusnya membawa kepada rampasan heroin dan methamphetamine bernilai RM1.17 juta, dalam empat serbuan susulan berasingan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo, berkata pihaknya menahan lelaki itu dan merampas satu bungkusan plastik teh Cina mengandungi serbuk serta ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 1.05 kilogram (kg) bernilai RM36,000 di kediaman berkenaan.

Katanya, soal siasat suspek membawa kepada rampasan 18 bungkusan plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki heroin seberat lapan kg bernilai RM108,000, selain enam bungkusan lut sinar dan plastik teh Cina mengandungi bahan, serbuk serta ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 3.12 kg bernilai RM111,600 di lokasi sama.

"Serbuan ketiga di sebuah residensi mewah di Taman Teknologi Mint, Bangi membolehkan kita merampas 21.1 kg methamphetamine bernilai RM750,600 dijumpai dalam 20 bungkusan plastik teh Cina.

"Turut ditemui heroin seberat 12.61 kg bernilai RM168,000 dalam 28 bungkusan plastik lut sinar. Serbuan keempat di sebuah rumah teres di Jalan Taming Jaya Balakong, Seri Kembangan pula membawa kepada rampasan wang tunai berjumlah RM60,520," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Lei Choo berkata, siasatan mendapati kediaman mewah di Kajang disewa RM1,200 hingga RM1,800 sebulan sejak dua bulan lalu, manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif tetrahydrocannabinol (THC).

"Suspek tiada rekod jenayah dan dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 91,860 pengguna. Dengan ini polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan dikesan aktif di Lembah Klang sejak dua bulan lalu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah dan individu lain yang terbabit aktiviti itu," katanya.

Beliau berkta, lelaki berkenaan direman tujuh hari hingga Selasa depan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lei Choo (tengah) bersama pegawai dan anggotanya menunjukkan sebahagian dadah dirampas susulan penahanan seorang lelaki di Kajang, Selasa lalu. FOTO NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Lei Choo (tengah) bersama pegawai dan anggotanya menunjukkan sebahagian dadah dirampas susulan penahanan seorang lelaki di Kajang, Selasa lalu. FOTO NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Berita Harian X