Selasa, 19 Oktober 2021 | 12:34pm

Polis minta pengesahan Australia Nur Sajat ada di negara itu

KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan berhubung dengan pihak berkuasa Australia untuk mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat, bahawa dia kini sudah menetap di sana.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa negara berkenaan berhubung perkara itu.

"Kita tidak dapat sahkan lagi (Nur Sajad berada di Australia). Kita akan rujuk dan dapatkan pengesahan dahulu.

"PDRM akan berhubung dengan pihak berkuasa Australia sebelum menentukan sebarang tindakan lanjut," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Nur Sajat menerusi Instragram mendakwa dia sudah berada di Australia.

Lelaki itu juga memaklumkan sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia dan secara rasmi berhijrah ke negara itu dengan bantuan Kerajaan Australia, ketika sesi siaran langsung menerusi laman sosial itu.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sajjad ditahan Imigresen Thailand kira-kira jam 6 petang pada 8 September lalu, kerana memiliki pasport tidak sah.

Usahawan itu kemudian dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan Imigresen di negara itu.

Muhammad Sajjad didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan selain diarah melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari.

Ketika berada di Thailand, dia sudah menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Pelarian Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal hadir pada sebutan semula kesnya tanpa sebab pada 23 Februari lalu.

Dia juga dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Berita Harian X