Isnin, 18 Oktober 2021 | 11:42pm

Polis siasat video tular kereta berhenti mengejut

KUALA LUMPUR: Polis menyiasat tindakan pemandu kereta berhenti secara mengejut sehingga menyebabkan ia dirempuh sebuah lagi kereta dari belakang.

Rakaman video yang tular di media sosial itu menunjukkan nahas berlaku di persimpangan lampu isyarat Persiaran Perdana Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.

Ketua Polis Dearah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata siasatan awal mendapati pemandu tidak cedera dalam nahas jam 11.44 pagi ini.

"Polis sudah mengesan kedua-dua pemandu kereta terbabit. Pemandu Naza Citra yang berhenti secara mengejut akan hadir memberi keterangan dalam masa terdekat, manakala pemandu Mini Cooper S sudah berbuat demikian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohamad Fakhrudin menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang yang boleh mengundang bahaya kepada diri, keluarga serta orang lain.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter dikenali @dmfhusaini memuat naik video berdurasi 45 saat memaparkan insiden berkenaan.

Pengguna itu turut mendakwa kemalangan terbabit ada unsur jenayah, selain menasihatkan pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika melalui laluan di Bandar Sri Damansara dan kawasan sekitarnya.

Tangkap layar video yang menunjukkan kereta berhenti secara mengejut mengakibatkan ia dirempuh sebuah lagi kereta dari belakang di persimpangan lampu isyarat dekat Petaling Jaya. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar video yang menunjukkan kereta berhenti secara mengejut mengakibatkan ia dirempuh sebuah lagi kereta dari belakang di persimpangan lampu isyarat dekat Petaling Jaya. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X