Isnin, 18 Oktober 2021 | 8:44pm

Terkejut temukan mayat anak di tingkat dua hotel

GEORGETOWN: "Kami baru selesai mandi di kolam renang di tingkat bawah hotel dan bersiap hendak naik ke bilik tetapi tiba-tiba anak saya meluru masuk ke dalam lif.

"Namun ketika mencarinya, kami dikejutkan dengan penemuan tubuhnya yang tidak bernyawa di tingkat dua hotel berkenaan," kata Siti Norra Salleh, 44.

Siti Norra berkata demikian ketika menceritakan insiden yang menimpa anaknya, Nur Airis Hafeeya Faizal, 6, yang ditemukan maut dipercayai terjatuh dari hotel tempat mereka menginap di Tanjung Bungah di sini, jam 11.30 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Siti Norra berkata, Nur Airis Hafeeya dan empat ahli keluarga sedang bersiap hendak naik ke bilik selepas mandi di kolam hotel berkenaan.

Namun, ketika melihat orang awam keluar dari lif itu, Nur Airis Hafeeya meluru masuk.

"Kami tidak sempat naik lif bersamanya dan pintu lif juga tutup dengan cepat sebelum mayatnya ditemukan di tingkat dua. Kami tidak menyangka mayat yang ditemukan itu adalah Nur Airis Hafeeya," katanya di sini, hari ini.

Siri Norra berkata, mereka sekeluarga menginap di hotel berkenaan sejak semalam bagi bercuti sebelum menghantar anak sulungnya ke Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Balik Pulau di sini, hari ini.

"Saya baru kehilangan ibu dan kini anak pula. Saya reda biarpun amat berat menerima kenyataan ini.

"Masih ingat pada hari kematian ibu, saya meminta Siti Airis Hafeeya mencium datuknya dan dia berkata boleh berjumpa datuknya di syurga dan kini baru saya tahu maksudnya," katanya.

Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Kami menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 12.20 tengah hari dan buat masa ini siasatan masih dijalankan," katanya.

Anggota polis forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian di sebuah hotel di Tanjung Bungah hari ini, selepasmangsa, Nur Airis Hafeeya Faizal berusia 6 tahun maut, dipercayai terjatuh dari bilik hotel. NSTP/MIKAIL ONG
Anggota polis forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian di sebuah hotel di Tanjung Bungah hari ini, selepasmangsa, Nur Airis Hafeeya Faizal berusia 6 tahun maut, dipercayai terjatuh dari bilik hotel. NSTP/MIKAIL ONG
Berita Harian X