Ahad, 17 Oktober 2021 | 9:55am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

16 ditahan pandu kenderaan mabuk, tunggang motosikal bahaya

KUALA LUMPUR: Polis menahan 16 lelaki kerana disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol serta menunggang motosikal secara merbahaya menerusi Operasi Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara, kelmarin hingga pagi ini.

Operasi itu dijalankan 89 pegawai Unit Penguatkuasaan dan Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar pusat bandar, Jalan Bangsar, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut ( menghala Sentul dan Chow Kit ), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE), bermula jam 9 malam kelmarin hingga 4 pagi tadi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata hasil operasi, 11 lelaki berusia antara 21 hingga 51 tahun ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Beliau berkata, lima lagi lelaki berusia 15 hingga 22 tahun ditahan kerana menunggang motosikal sambil melakukan aksi 'Superman', zig-zag', dan 'roket' selain bersaing sesama sendiri.

"Semua tahanan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 45(A) dan 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Secara keseluruhan sebanyak 358 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita Harian X