Sabtu, 16 Oktober 2021 | 1:55pm
Polis menyerbu rumah kedai di Muara Tabuan, Kuching, semalam. - Foto NSTP/NORSYAZWANI NASRI
Polis menyerbu rumah kedai di Muara Tabuan, Kuching, semalam. - Foto NSTP/NORSYAZWANI NASRI

Polis serbu lombong Bitcoin

KUCHING: Polis menyerbu sebuah rumah kedai di Muara Tabuan, di sini, yang dijadikan pusat melombong bitcoin.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata serbuan jam 10.10 pagi semalam dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bersama petugas syarikat SESCO Berhad. "Dua warga tempatan dalam lingkungan usia 24 hingga 44 tahun ditahan kerana disyaki menjadi penjaga premis yang beroperasi sejak bulan Februari 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapat pusat itu dipercayai mengaut keuntungan kasar RM23,000 sebulan.

Katanya, jumlah keseluruhan hasil aktiviti bagi lapan bulan mencecah RM184,000.

"Polis sedang mengesan pemilik premis," katanya.

Ahsmon berkata, polis juga merampas pelbagai peralatan termasuk satu unit monitor komputer, satu unit pemprosesan komputer, 90 unit mesin bitcoin, router dan modem.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut dua kesalahan iaitu Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik Sarawak.

Berita Harian X