Khamis, 7 Oktober 2021 | 12:54pm

SPRM 'intai' dakwaan bolot projek di Melaka

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mahupun bukti berkaitan isu dakwaan pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka supaya tampil.

SPRM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berhubung isu itu.

"Mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu berkenaan diminta tampil untuk memberi kerjasama kepada SPRM.

"Ingin ditegaskan bahawa kegagalan melaporkan apa-apa salah laku di bawah Akta SPRM adalah satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

"Selain itu, SPRM juga akan menghantar pegawai untuk mengadakan perjumpaan dengan Idris bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu terbabit," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Idris mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir.

Idris mendedahkan disebabkan perkara itu, beliau terpaksa menarik sokongan terhadap Kerajaan Melaka untuk menyelamatkan UMNO daripada ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Berita Harian X