Isnin, 27 September 2021 | 9:00pm
Anggota bomba menyelamatkan mayat seorang bayi lelaki yang terjatuh ke dalam mangkuk tandas selepas ibunya tidak sengaja melahirkannya di sebuah rumah di belakang sebuah restoran di Parit 7, dekat sini, hari ini. - Foto JBPM
Anggota bomba menyelamatkan mayat seorang bayi lelaki yang terjatuh ke dalam mangkuk tandas selepas ibunya tidak sengaja melahirkannya di sebuah rumah di belakang sebuah restoran di Parit 7, dekat sini, hari ini. - Foto JBPM

Bayi meninggal dunia dalam mangkuk tandas

SEKINCHAN: Memilukan apabila seorang bayi lelaki meninggal dunia dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di belakang sebuah restoran di Parit 7, dekat sini, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian jam 4 petang ketika ibu bayi berusia 37 tahun itu mahu membuang air besar.

Dia yang mengandung tujuh bulan dikatakan dengan tidak sengaja melahirkan anaknya yang kemudian terjatuh ke dalam mangkuk tandas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.03 petang.

Beliau berkata, sepasukan sembilan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati bayi yang dilahirkan itu terjatuh ke dalam mangkuk tandas.

"Kami kemudian mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan cara memecahkan mangkuk tandas.

"Pasukan perubatan yang tiba awal mengesahkan mangsa meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hafisham berkata, ibu mangsa berada dalam keadaan stabil dan dihantar ke Hospital Tanjong Karang (HTK), dekat sini.

Berita Harian X