Ahad, 26 September 2021 | 8:08pm

Wanita kena tipu cukai RM53,000

KEPALA BATAS: Panik tidak bertempat menyebabkan seorang pekerja swasta di sini, menanggung kerugian apabila wang simpanan miliknya sebanyak RM53,000 melayang akibat ditipu individu menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Wanita berusia 40 tahun itu didakwa membuat pembayaran ke akaun yang diberikan sindiket penipuan itu selepas diperdaya kononnya dia mempunyai tunggakan cukai syarikat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa dikatakan mendapat panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai LHDN baru-baru ini.

"Melalui panggilan berkenaan, individu itu memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat berjumlah RM32,800.

"Bagaimanapun, mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilannya disambungkan kepada pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

"Pegawai polis itu memberitahu mangsa bahawa ada pihak lain yang menggunakan butiran peribadi mangsa dan meminta mangsa membuat bayaran bagi menjalankan siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang panik mengikut arahan berkenaan apabila dia membuat pembayaran berjumlah RM53,000 yang kemudiannya dipindahkan kepada tiga akaun bank lain.

"Mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu apabila menceritakan perkara terbabit kepada rakannya lalu tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

"Polis menasihati orang awam supaya berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon dari mana-mana agensi kerajaan yang meminta maklumat perbankan secara dalam talian," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X