Ahad, 26 September 2021 | 11:23am
Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal di beberapa lokasi sekitar ibu negara malam tadi. - Foto ihsan PDRM
Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal di beberapa lokasi sekitar ibu negara malam tadi. - Foto ihsan PDRM

Polis tahan 18 individu, sita 22 motosikal

KUALA LUMPUR: Polis menahan 18 individu atas pelbagai kesalahan dan menyita 22 motosikal dalam Operasi (Op) Samseng Jalanan dan Op Motosikal di beberapa lokasi sekitar ibu kota, malam tadi.

Operasi bermula jam 9 malam itu dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Tun Razak , Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Bangsar dan Lebuhraya DUKE oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata dalam Op Motosikal di Jalan Pahang, dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu.

"Sejumlah dadah seberat 1.7 gram ditemui pada mereka dan tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut.

"Kedua-duanya akan dituduh mengikut Seksyen 12(2)(e) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan di bawah 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya seramai 11 lelaki berusia antara 23 hingga 66 tahun turut ditahan kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dan kes disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Kita turut menahan lima lelaki yang menunggang secara merbahaya dengan melakukan aksi 'zig zag, 'superman', roket serta bersaing sesama sendiri dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya DUKE dan Jalan Bangsar.

"Kesemua tangkapan berusia 14 hingga 21 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya turut yang memaklumkan operasi berakhir jam 4 pagi itu dijayakan 49 pegawai dan anggota.

Dalam pada itu, sebanyak 571 jumlah saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 22 buah motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai ekzos.

Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

Berita Harian X