Sabtu, 25 September 2021 | 9:32am
Kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di KM418 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan dengan seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian itu. - Foto Ihsan PDRM
Kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di KM418 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan dengan seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian itu. - Foto Ihsan PDRM

Penunggang motosikal maut dirempuh dua kereta

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengenal pasti identiti seorang penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 418, Lebuhraya Utara Selatan arah kes Selatan, malam tadi.

Polis yang menerima laporan kemalangan pada jam 10.30 malam, mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y15, lori Hino serta dua kereta jenis PERODUA Alza dan PROTON Iswara.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin, berkata siasatan awal di tempat kejadian itu mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila motosikal ditunggang seorang lelaki terbabas dan penunggangnya terjatuh di lorong tengah.

"Motosikal mangsa yang berada di lorong kiri kemudian dilanggar sebuah lori yang tidak sempat mengelak, menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.

"Tidak lama kemudian, datang dua kereta tidak sempat mengelak mangsa yang berada di lorong tengah dan melanggarnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Arsad, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat serta pengecaman identiti.

"Kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu untuk tampil menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X