Rabu, 15 September 2021 | 2:42pm

Tak mengaku cabul adik ipar usia 7 tahun

PASIR MAS: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan mencabul adik iparnya berusia tujuh tahun di dalam sebuah kereta, bulan lalu.

Tertuduh berusia 39 tahun membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh dalam sebuah kereta Proton Wira di tepi Jalan Ayir Naga, Tanah Merah, kira-kira jam 10 hingga 12 tengah malam, antara 8 hingga 12 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh mempunyai akses untuk berhubung atau bertemu kerana mangsa adalah adik iparnya.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan diikat jamin dengan alasan mempunyai lima anak dan isteri yang sarat mengandung serta menanggung ibu yang juga orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.

Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mencabul adik iparnya berusia tujuh tahun dalam sebuah kereta di tepi Jalan Ayir Naga, Tanah Merah. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mencabul adik iparnya berusia tujuh tahun dalam sebuah kereta di tepi Jalan Ayir Naga, Tanah Merah. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X