Ahad, 12 September 2021 | 11:32am

Empat lelaki beraksi roket, 'Superman' dicekup

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki termasuk seorang pelajar sekolah kerana menunggang motosikal sambil melakukan aksi merbahaya dekat Plaza Tol Ayer Panas, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Kuching, di sini, awal pagi tadi.

Sepasukan anggota unit risikan serta operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menangkap suspek berusia antara 15 hingga 25 tahun menerusi Operasi Samseng Jalanan dan Motosikal yang berakhir jam 4 pagi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata lelaki berkenaan didapati membuat kesalahan dengan berlumba sambil melakukan aksi 'zig-zag', 'roket' dan 'Superman'.

"Pelajar sekolah dan seorang mekanik ditahan di Plaza Tol Ayer Panas dekat Lebuhraya DUKE, manakala dua pekerja kilang di Jalan Kuching.

"Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Sarifudin berkata, pihaknya menahan dua lelaki di sekitar ibu negara menerusi operasi sama semalam, kerana melanggar undang-undang jalan raya.

"Dua lelaki itu berusia 25 dan 29 tahun dan seorang daripadanya disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

"JSPT Kuala Lumpur menjalankan Operasi Samseng Jalanan dan Motosikal di Jalan Tun Razak, Jalan Loke Yew, Jalan Bangsar, Jalan Kuching serta Plaza Tol Ayer Panas, Lebuhraya DUKE bermula Jumaat lalu hingga awal pagi tadi," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 984 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi terbabit.

"Kami turut menyita 43 motosikal atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos.

"Motosikal itu akan melalui pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pemiliknya diarahkan mengubah kenderaan ke struktur asal," katanya.

Sarifudin memberi jaminan pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi terutama pada hujung minggu bagi mencegah sepenuhnya aktiviti samseng jalanan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan bileh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999, Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-20260267/69) atau mana-mana balai polis berhampiran.

Berita Harian X