Selasa, 7 September 2021 | 4:49pm
Lori dipandu seorang lelaki positif dadah merempuh lima kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam. - Foto ihsan pembaca
Lori dipandu seorang lelaki positif dadah merempuh lima kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam. - Foto ihsan pembaca

Pemandu lori tempuh lima kenderaan direman

KUALA LUMPUR: Pemandu lori yang merempuh lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh, di sini, semalam, direman empat hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata reman terhadap lelaki berusia 25 tahun itu bermula hari ini.

"Polis mendapat perintah reman pemandu lori itu selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sarifudin dilaporkan berkata, siasatan mendapati lori berkenaan dari arah Jalan Duta menghala ke Sentul gagal dikawal dan merempuh dengan laju lima kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori didapati positif methamphetamin dan amphetamin.

Katanya, pemandu Perodua Myvi cedera ringan di muka dan mendapatkan rawatan di zon hijau Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala pemandu empat lagi kenderaan tidak cedera.

Difahamkan, pemandu Perodua Myvi berusia 45 tahun itu terperangkap dalam kenderaannya, namun diselamatkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Kemalangan itu turut membabitkan sebuah lagi Perodua Myvi, Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL.

Semakan mendapati pemandu lori terbabit mempunyai empat rekod saman iaitu dua saman kemalangan dan masing-masing satu saman memotong secara berbahaya serta tiada cermin belakang kenderaan.

Berita berkaitan:

  • Pemandu lori positif dadah rempuh 5 kenderaan
  • Perodua Myvi remuk teruk dirempuh lori
  • Berita Harian X