Ahad, 5 September 2021 | 9:15pm

Suami isteri dera bayi didakwa di mahkamah esok

TAMPIN: Sepasang suami isteri yang ditahan membabitkan kes dera bayi lelaki berusia 16 bulan pada 25 Ogos lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret Tampin di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, berkata bapa tiri mangsa berusia 23 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Ibu kanak-kanak itu pula yang berusia 17 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian terhadap kanak-kanak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri dari FELDA Bukit Jalor, Air Kuning Selatan dekat sini, ditahan susulan kejadian dera anak lelaki mereka pada 25 Ogos lalu.

Perbuatan itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang doktor dari sebuah klinik di daerah ini yang memaklumkan menerima seorang pesakit iaitu bayi berkenaan dalam keadaan lebam di mata dan ada kesan terkena seterika di belakang badannya disyaki didera.

Anuwal berkata, keadaan mangsa ketika ini dilaporkan stabil selepas mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

"Bayi berkenaan yang sudah keluar daripada hospital kini di bawah jagaan dan pemerhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Seremban," katanya.

Sementara itu, Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi ketika dihubungi berkata, bayi terbabit masih lagi di bawah pemantauan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk menempatkan bayi berkenaan di sebuah pusat kanak-kanak di Seremban sebaik dia sihat.

"Kita akan tempatkannya di sebuah tempat perlindungan yang selamat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

"Keadaan kanak-kanak itu setakat ini secara keseluruhannya semakin baik dan sihat selepas dirawat hampir dua minggu di hospital berkenaan," katanya.

Berita Harian X