Ahad, 5 September 2021 | 2:20pm
Seorang lelaki yang menunggang motosikal curi antara empat yang ditahan dalam Op Motosikal dan Op Samseng Jalanan di sekitar ibu negara bermula Jumaat hingga malam tadi. - Foto PDRM
Seorang lelaki yang menunggang motosikal curi antara empat yang ditahan dalam Op Motosikal dan Op Samseng Jalanan di sekitar ibu negara bermula Jumaat hingga malam tadi. - Foto PDRM

Lelaki dikehendaki polis, curi kenderaan ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dengan tiga rekod jenayah lampau serta dikehendaki polis antara empat individu yang ditahan dalam Op Motosikal dan Op Samseng Jalanan di beberapa lokasi sekitar ibu negara, bermula Jumaat lalu hingga malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata suspek yang berusia 27 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan di Jalan Tun Razak, Jumaat lalu.

Katanya, suspek yang diperiksa semasa operasi itu ditahan selepas semakan mendapati lelaki itu terbabit menunggang motosikal yang dicuri.

"Semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai tiga rekod jenayah lampau selain mempunyai rekod orang yang dikehendaki oleh polis.

"Siasatan ke atasnya dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri sebuah kenderaan bermotor," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sarifudin berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki berusia antara 18 hingga 20 tahun yang menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, 'superman' serta berlumba sesama mereka.

Katanya, semua tangkapan dibawa ke Balai JSPT Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

"Secara keseluruhan, 896 jumlah saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 19 motosikal disita mengikut Seksyen 64 APJ atas kesalahan mengubah suai ekzos.

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JPJ serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Sarifudin berkata, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi terutama di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan.

Berita Harian X