Jumaat, 3 September 2021 | 1:39pm

Penghantar barang dihukum gantung sampai mati

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar barang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 299.09 gram (g), tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hafizul Rashid Emmy, 29, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Sequerah berkata, selepas meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan mengenai pemilikan dadah berbahaya.

"Pihak pembelaan juga gagal menyangkal ke atas keimbangan kebarangkalian anggapan mengedar bawah Seksyen 37(da)(vi) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan dihadapinya. Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati," katanya dalam penghakiman ringkas beliau.

Tertuduh dilihat tidak dapat menahan kesedihan, manakala seorang wanita berada di galeri awam yang dipercayai adalah ahli keluarga tertuduh pula dilihat sebak, selepas mahkamah menjatuhkan hukuman berkenaan.

Muhammad Hafizul didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 299.09g di sebuah rumah di Bandar Tasik Selatan, Cheras, pada jam 11.50 malam 8 Mac 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 38B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan, termasuk tertuduh, memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Suzana Norlihan. – BERNAMA

Berita Harian X