Rabu, 1 September 2021 | 8:33pm
Polis memohon bantuan saksi kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan treler di Kilometer 407 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat Hulu Selangor semalam tampil membantu siasatan. - Foto ihsan polis
Polis memohon bantuan saksi kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan treler di Kilometer 407 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat Hulu Selangor semalam tampil membantu siasatan. - Foto ihsan polis

Polis minta saksi bantu siasatan kemalangan

KUALA LUMPUR: Polis memohon bantuan saksi kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan treler di Kilometer 407 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat Hulu Selangor semalam tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin, berkata dalam kemalangan jam 5 petang, SUV jenis Ssangyong dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari ibu negara ke Perak.

"Kenderaan terbabit terbabas sendiri dan melanggar penghadang besi di kiri lebuh raya sebelum berpusing dan dilanggar sebuah treler yang tidak sempat mengelak di lorong tengah lebuh raya.

"Akibat pelanggaran itu, pemandu SUV tersepit serta terbakar di dalam kenderaan dan maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Arsad, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat dan pengecaman identiti.

"Mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan proses pengecaman sudah dibuat oleh pihak keluarganya.

"Polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan ini untuk tampil menyalurkan maklumat kepada kita bagi membantu siasatan," katanya.

Arsad berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, semalam dipetik sebagai berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 5.14 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim serta BBP Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.

Berita Harian X