Selasa, 31 Ogos 2021 | 2:33pm
Motosikal yang disita dan aksi ‘Superman’ di Lebuhraya Duke, awal pagi tadi. - Foto ihsan polis
Motosikal yang disita dan aksi ‘Superman’ di Lebuhraya Duke, awal pagi tadi. - Foto ihsan polis

Tiga 'Superman' dicekup

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki kerana melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Duke dekat Ayer Panas, awal pagi tadi.

Menerusi Operasi Ambang Merdeka bermula jam 9 malam hingga 3 pagi, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menahan suspek berusia antara 17 hingga 21 tahun.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata mereka didapati membuat kesalahan dengan berlumba sambil melakukan aksi 'zig-zag', 'roket' dan 'Superman'.

"Kita turut menyita motosikal suspek untuk tindakan selanjutnya termasuk pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Suspek juga akan diarahkan untuk mengubah struktur motosikal kepada yang asal. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Sarifudin berkata, pihaknya mengeluarkan 306 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya di Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Duke, dalam tempoh serta operasi sama.

"Kita juga sita lapan motosikal mengikut Seksyen 64 APJ atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos," katanya.

Sarifudin berkata, operasi akan diteruskan bagi menangani isu samseng jalanan dan memastikan semua pengguna jalan mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Orang ramai mempunyai pertanyaan atau maklumat berkaitan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-20260267/69) atau mana-mana balai Polis berhampiran," katanya.

Berita Harian X