Rabu, 25 Ogos 2021 | 12:30pm

Sarjan didakwa kes dadah

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memasukkan dadah jenis ketamin ke dalam badan, 6 Ogos lalu.

Tertuduh, Frankie Anak Rimong, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, R Salini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memberikan dadah berbahaya jenis ketamin ke dalam tubuh badannya sendiri.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, kira-kira jam 10.55 pagi, 6 Ogos lalu.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yiew, manakala tertuduh diwakili peguam, Chuah Shyue Chien.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya memohon jaminan RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh berikutan kesalahan yang dilakukannya tidak menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat.

Bagaimanapun, Shyue Chien memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin yang dikenakan, memandangkan tertuduh yang masih berkhidmat, mempunyai tanggungan empat anak.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM 2,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Oktober depan.

Seorang anggota polis berpangkat Sarjan, Frankie Anak Rimong, 43, didakwa memasukkan dadah jenis ketamin ke dalam badan, 6 Ogos lalu di Mahkamah Majistret, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Seorang anggota polis berpangkat Sarjan, Frankie Anak Rimong, 43, didakwa memasukkan dadah jenis ketamin ke dalam badan, 6 Ogos lalu di Mahkamah Majistret, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X