Ahad, 22 Ogos 2021 | 1:18pm
LAPORAN BHOnline semalam mengenai nahas menyebabkan 3 penunggang motosikal maut.
LAPORAN BHOnline semalam mengenai nahas menyebabkan 3 penunggang motosikal maut.

Nahas 3 maut: Polis kesan pemandu kereta larikan diri

MANJUNG: Polis sedang mengesan pemandu kereta Proton Preve yang melarikan diri sejurus terbabit kemalangan menyebabkan dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal maut di Kilometer 4 Jalan Kampung Acheh-Sitiawan, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa maut dikenal pasti Mohd Nur Hisham Hassan, 29; Hasrandy Bahrum, 27, dan Mohd Suhail Zainal, 22. Ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Nahas membabitkan Proton Preve berkenaan dengan enam motosikal itu turut menyebabkan enam yang lain cedera, termasuk tiga lelaki parah dan tiga lagi termasuk seorang wanita cedera.

Enam motosikal itu ditunggang enam lelaki dan satu daripadanya turut dibonceng seorang lelaki lain, semuanya pekerja sebuah syarikat minyak dan gas (O&G) di Kampung Acheh.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata pemandu kereta iaitu lelaki berusia 38 tahun melarikan diri selepas kejadian.

Katanya, polis menahan penumpang hadapan kereta berkenaan, iaitu lelaki berusia 24 tahun selepas ujian awal saringan air kencingnya didapati positif methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Penumpang kereta itu direman bermula hari ini sehingga 24 Ogos untuk tindakan lanjut. Kita juga sedang mengesan suspek (pemandu kereta berkenaan). Penumpang wanita pula negatif dadah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati Proton Preve yang membawa seorang penumpang lelaki dan seorang penumpang wanita berusia 24 tahun, datang dari arah Lekir menghala Kampung Acheh, manakala semua penunggang dan seorang pembonceng motosikal dari arah Kampung Acheh menghala Sitiawan.

"Tiba di tempat kejadian, kereta terbabit dipercayai terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar keenam-enam motosikal. Akibat nahas itu, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, enam lagi cedera dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, mangsa maut membabitkan penunggang Honda EX5 Dream berusia 22 tahun dan pemboncengnya berusia 27 tahun, manakala seorang lagi yang meninggal dunia adalah lelaki berusia 29 tahun menunggang Yamaha 135 LC.

"Ketiga-tiga lelaki yang maut cedera parah di kepala. Lelaki dan wanita penumpang kereta juga masing-masing cedera di kepala, tangan, kaki dan muka.

"Yang turut cedera, tiga lagi penunggang motosikal, iaitu lelaki berusia 25 hingga 48 tahun dan masih dalam rawatan di hospital. Seorang lagi penunggang motosikal berusia 24 tahun cedera di kaki dan sudah dibenarkan keluar hospital," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian dan pemandu kereta berkenaan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Lily Suryana Roslaili di talian 013-6559693 bagi membantu siasatan.

Berita Harian X