Khamis, 19 Ogos 2021 | 11:54am
Najib bersama beberapa ahli UMNO dan BN menaiki menaiki bas khas dari ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn untuk ke Istana Negara. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Najib bersama beberapa ahli UMNO dan BN menaiki menaiki bas khas dari ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn untuk ke Istana Negara. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Hakim berang Najib tidak hadir perbicaraan

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak, berang kerana bekas Perdana Menteri itu tidak hadir pada prosiding perbicaraan, pagi ini.

Sebaik saja perbicaraan kes itu bermula pada jam 9.30 pagi, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib memaklumkan mahkamah, anak guamnya dipanggil ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Rahmat berkata, Najib bersama dan Ahli Parlimen dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Bagaimanapun, tidak diketahui masa spesifik untuk Najib akan dipanggil menghadap Yang Di-Pertuan Agong.

"Najib dijangka beredar dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menuju ke istana pada jam 10.30 pagi," katanya.

Mendengar perkara itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah berang dan berkata, Najib seharusnya hadir di mahkamah terlebih dahulu.

"Yang Di-Pertuan Agong memanggil semua Ahli Parlimen untuk menghadap dan beliau sememangnya perlu berada di sana. Namun, laporan media menyatakan, ia akan dilakukan secara berperingkat.

"Anak guam anda perlu memaklumkan kepada mahkamah jam berapa beliau perlu berada di istana kerana kes ini akan diteruskan," katanya sebelum menangguhkan perbicaraan selama 10 minit.

Najib tidak hadir dalam perbicaraan kesnya berkaitan 1MDB, hari ini. - Foto NSTP
Najib tidak hadir dalam perbicaraan kesnya berkaitan 1MDB, hari ini. - Foto NSTP

Sebaik mahkamah mula bersidang, Rahmat memaklumkan pihaknya tidak dapat memaklumkan waktu spesifik untuk Najib bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Sequerah berkata, perbicaraan itu akan diteruskan dan meminta peguam untuk memaklumkan mengenai pertemuan Najib dengan Agong.

"Kita semua mempunyai tugas yang perlu dijalankan. Sekiranya dipanggil menghadap Agong, beliau harus menghadirkan diri, namun, beliau tidak perlu berada di sana seharian.

"Beliau boleh memberikan pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kembali semula ke sini," katanya.

Mahkamah kemudian memaklumkan perbicaraan kes akan disambung pada jam 2.30 petang.

Semalam, prosiding perbicaraan pada sesi pagi terpaksa ditangguh bagi membolehkan Najib menghadiri mesyuarat di WTCKL.

Sequerah berkata, permohonan penangguhan bagi menghadiri mesyuarat atau sebarang acara dibenarkan, namun perbicaraan itu perlu disambung pada sebelah petang.

Najib, 68, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

ROSMAH dan Najib Razak. - Foto Arkib NSTP
ROSMAH dan Najib Razak. - Foto Arkib NSTP

Berita Harian X