Sabtu, 14 Ogos 2021 | 8:41pm
Ratusan ikan yang ditemui mati di Sungai Penchala, Khamis lalu. - Foto Kementerian Alam Sekitar dan Air
Ratusan ikan yang ditemui mati di Sungai Penchala, Khamis lalu. - Foto Kementerian Alam Sekitar dan Air

Kilang punca ikan mati di Sungai Penchala dikenakan tindakan

SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan mengambil tindakan terhadap premis kilang yang didapati melepaskan efluen mentah sehingga menyebabkan ratusan hidupan air di Sungai Penchala, di sini, mati, Khamis lalu.

LUAS dalam kenyataannya hari ini, berkata tindakan akan diambil mengikut Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun serta denda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta.

Katanya, selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor melaporkan mengenai insiden berkenaan, siasatan segera dilakukan berhampiran Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya dan menemui bangkai ikan yang hanyut.

"Pensampelan in-situ yang dijalankan pihak LUAS di dua lokasi hulu sungai mendapati, kandungan Oksigen Terlarut (DO) adalah baik iaitu di antara 3.2mg/l (miligrams per liter) ke 4.33mg/l, manakala kandungan Ammonia adalah 2mg/l.

"Siasatan ke hilir sungai menemui ratusan bangkai ikan di beberapa kawasan, disyaki berpunca daripada pencemaran air sungai yang berkemungkinan berlaku sebelum aduan dibuat (Khamis).

"Pensampelan yang dijalankan di lokasi ketiga pula mendapati kandungan DO juga baik iaitu 3.68mg/l serta Ammonia 2mg/l. Bagaimanapun, air di kawasan itu berwarna keruh dan dilihat mengalir memasuki Sungai Penchala.

"Pensampelan kandungan nilai pH aliran air itu mencatatkan bacaan pH 12," katanya kenyataan itu.

BH pagi tadi melaporkan, Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam satu kenyataan di Facebooknya, berkata sebuah premis terletak di Jalan Profesor Khoo Kay Kim, Petaling Jaya diarah menghentikan operasi selepas berlaku pelepasan limpahan efluen mentah daripada tangki Equalisation Tank premis sehingga menyebabkan insiden hidupan air di Sungai Penchala mati.

Kementerian itu berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Berita Harian X