Rabu, 11 Ogos 2021 | 4:22pm
Syamsul Zaman Sukri ketika ditahan reman pada 6 Ogos lalu. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syamsul Zaman Sukri ketika ditahan reman pada 6 Ogos lalu. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

'Ustaz Budak' mengaku tidak bersalah cabul remaja lelaki

PASIR MAS: Seorang pengurus madrasah yang dikenali sebagai 'Ustaz Budak', dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencabul remaja lelaki berusia 13 tahun pada 3 Ogos lalu.

Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Prosiding dijalankan secara dalam talian atas permintaan mahkamah berikutan ada tahanan lain dalam lokap yang dihuni tertuduh, didapati bergejala COVID-19.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual meraba seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di sebuah bilik tidur di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, jam 9.45 pagi 3 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat.

Terdahulu, Ahmad Adha memohon ikat jamin minimum dikenakan terhadap anak guamnya, manakala Hajarul Falenna memohon tiada ikat jamin memandangkan mangsa adalah remaja.

Mahkamah kemudian memutuskan untuk tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh, sekali gus menetapkan 19 September depan bagi sebutan semula kes dan laporan perubatan mangsa.

Untuk rekod, pendakwaan hari ini adalah yang ke-13 membabitkan 'Ustaz Budak' berkaitan kes cabul.

Berita Harian X