Rabu, 11 Ogos 2021 | 1:48pm
LOKASI kejadian pergaduhan dua jiran yang membawa kematian seorang daripada mereka di Beruas, Manjung, Perak. - Foto IHSAN PEMBACA.
LOKASI kejadian pergaduhan dua jiran yang membawa kematian seorang daripada mereka di Beruas, Manjung, Perak. - Foto IHSAN PEMBACA.

Kes tetak mati: Suspek tak suka anak mangsa datang rumah

MANJUNG: Lelaki yang dipercayai menetak jirannya hingga mati di sebuah rumah di Jalan Sitiawan-Beruas, Beruas, di sini kelmarin, dikatakan tidak suka anak lelaki mangsa datang ke rumahnya.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa berusia 40-an ditetak dengan parang di kepala dan kaki oleh suspek lelaki berusia 40-an.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, ketika dihubungi berkata, suspek dipercayai menampar anak lelaki mangsa kerana tidak suka kanak-kanak itu datang ke rumahnya, malah kedua-dua lelaki itu juga pernah bergaduh sebelum ini.

"Suspek dikatakan tidak suka anak lelaki mangsa berusia 10 tahun datang ke rumah bermain dengan anaknya," katanya, hari ini.

Nor Omar berkata, bedah siasat punca kematian mangsa akan dilakukan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, petang ini.

"Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod dadah dan satu rekod jenayah, namun ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah," katanya.

Sebelum kejadian itu, suspek didakwa menampar anak mangsa yang menyebabkan jirannya itu datang untuk berbincang.

Berita Harian X