Selasa, 10 Ogos 2021 | 10:55pm

Pemandu maut van terbabas dalam sungai

KULIM: Seorang lelaki maut selepas van dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke dalam sungai di Jalan Ladang Anak, di sini, hari ini.

Kejadian jam 12.40 tengah hari itu berlaku apabila van dipandu mangsa berusia 52 tahun itu pada mulanya terbabit dalam kemalangan dengan dua lori.

Dalam kemalangan itu, rakannya berusia 45 tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera di dada dan bahu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam, berkata siasatan mendapati van dipandu mangsa dari arah Kulim menuju ke Serdang pada mulanya merempuh belakang sebuah lori yang datang dari arah sama.

"Rempuhan itu menyebabkan van dipandu mangsa masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lagi lori sebelum terbabas dalam sungai di sebelah kanan jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sazalee berkata, mangsa yang mengalami kecederaan dalaman meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua pemandu lori masing-masing berusia 29 dan 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X