Isnin, 9 Ogos 2021 | 6:09pm

Terbabit rasuah, bekas majistret diarah bela diri

KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintahkan seorang bekas majistret membela diri terhadap enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM210,000 daripada seorang peniaga, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohamad Amin Shahul Hamid, 40, selepas mendengar keterangan 15 saksi.

Beliau menetapkan 18 Oktober depan untuk prosiding membela diri dan 19 November bagi mendengar hujah di akhir kes pembelaan.

Mohamad Amin yang ketika kejadian adalah majistret di Mahkamah Lipis dan Raub, didakwa meminta suapan RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis serta Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh hanya mengenakan denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup ketika kes didengar di hadapan tertuduh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.

Dalam kes berlainan, Ahmad Zamzani menjatuhi hukuman denda RM700,00 atau penjara 12 bulan terhadap bekas pengarah syarikat pembinaan, Lee Teh Hok, 66, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif mengemukakan dokumen palsu berhubung projek menaik taraf jalan di Bera tujuh tahun lalu.

Teh Hok sebagai Pengarah Syarikat Kayangan Kemas Sdn Bhd, didakwa menggunakan dokumen Senarai Kuantiti Projek Menaik Taraf Jalan FT 1510 Seksyen 1-18 Kawasan Parlimen Bera yang diketahuinya palsu.

Tertuduh yang diwakili peguam Lim Kon Keen, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Kerja Raya Daerah Bera sekitar April 2014 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – BERNAMA

Berita Harian X