Ahad, 1 Ogos 2021 | 10:06pm

Polis nafi aktivis dipaksa berbogel, buka pakaian dalam

KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan seorang aktivis, Sarah Irdina Mohamad Arif dipaksa berbogel dan membuka pakaian dalam ketika berada dalam tahanan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata wanita berusia 20 tahun itu ditahan bersabit akaun Twitter MISI: Solidariti yang dikendalikannya mengikut Akta Hasutan 1948 pada Khamis lalu.

Katanya, penangkapan Sarah Irdina disiarkan sebuah portal berita tempatan semalam dan tular dengan wanita itu mendakwa dipaksa berbogel dan membuka pakaian dalam ketika berada dalam tahanan polis.

"Wanita itu ditahan dan dimasukkan ke Lokap Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang kira-kira jam 7 malam pada 29 Julai lalu atas kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

"Proses penempatan beliau ke lokap menepati prosedur yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Lokap 1953 (L.N.328/1953) dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara A118," katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, Sarah Irdina yang juga seorang pelajar ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Khamis lalu susulan ciapannya mengenai satu perhimpunan bantahan di ibu negara, semalam.

Memetik laporan sebuah portal berita, aktivis itu mendakwa dipaksa berbogel dan membuka pakaian dalamnya untuk memakai baju dan seluar lokap polis.

Dia turut mendakwa, katil lokap diperbuat daripada batu bata dengan papan keras di atasnya, selain bilik mandi terbuka yang dapat dilihat semua orang yang berjalan melalui sel tahanan berkenaan.

Eng Lai berkata, sebelum dimasukkan ke sel lokap, setiap tahanan akan dibawa ke dalam bilik khas untuk diperiksa oleh petugas lokap wanita bagi memastikan tiada sebarang kecederaan fizikal dan tiada barang tidak dibenarkan dibawa masuk ke lokap.

"Seterusnya beliau menukar pakaiannya kepada pakaian lokap berwarna ungu dan proses menukar pakaian itu dilakukan dalam bilik khas yang tidak boleh dilihat orang lain.

"Sepanjang tempoh penahanannya, prosedur tetap operasi (SOP) lokap dipatuhi sepenuhnya. Sel lokap beliau hanya ditempatkan petugas dan tahanan wanita," katanya.

Beliau berkata, petugas atau tahanan lelaki tidak dibenarkan melalui atau masuk ke kawasan terbabit.

"Beliau sudah dibebaskan dengan jaminan polis jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih dan boleh menimbulkan kegusaran," katanya.

Berita Harian X