Sabtu, 31 Julai 2021 | 9:23pm

Lelaki mati di tepi jalan disahkan positif COVID-19

KUALA LANGAT: Polis mengesahkan lelaki yang ditemui terbaring di tepi Jalan 3 Tepi Laut, Pekan Tanjung Sepat di sini, Rabu lalu, meninggal dunia akibat COVID-19.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata pihaknya dimaklumkan penemuan itu oleh orang awam pada jam 5 petang hari kejadian.

Katanya, anggota kemudian menghubungi pegawai kecemasan Klinik Kesihatan Tanjung Sepat untuk bantuan ambulans ke lokasi kejadian.

"Sebaik pasukan itu tiba, pemeriksaan mengesahkan lelaki tempatan berumur 53 tahun itu sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Banting untuk prosedur lanjut, sebelum mengesahkan kematian akibat Covid-19.

Terdahulu, video berdurasi 19 saat tular di laman sosial menunjukkan pasukan perubatan melakukan pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan yang terbaring di tepi jalan.

Berita Harian X