Sabtu, 31 Julai 2021 | 9:09pm
Polis akan memanggil seorang usahawan kosmetik terkenal bagi membantu siasatan pelanggaran SOP dengan menikmati durian bersama beberapa individu lain. - Foto Twitter
Polis akan memanggil seorang usahawan kosmetik terkenal bagi membantu siasatan pelanggaran SOP dengan menikmati durian bersama beberapa individu lain. - Foto Twitter

Polis siasat usahawan kosmetik berkumpul makan durian

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil seorang usahawan kosmetik terkenal bagi membantu siasatan selepas tular gambar tangkap layar lelaki itu menikmati durian bersama beberapa individu lain dan disiarkan secara langsung di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata tangkap layar siaran secara langsung itu dikesan ditularkan seorang pengguna media sosial, kira-kira jam 1.10 tengah hari semalam.

"Tangkap layar itu dikongsi lebih 4,000 kali di media sosial berkenaan bersama komen netizen yang turut menanda (tag) media sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa tindakan diambil terhadap pengusaha kosmetik terbabit.

"Pada jam 4 petang tadi, kita terima satu laporan polis berkaitan gambar tangkap layar itu dan siasatan mendapati usahawan kosmetik berkenaan seorang selebriti terkenal dan mempunyai ramai pengikut di media sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, gambar tangkap layar yang tular itu mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat kerana perbuatan usahawan kosmetik itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

"Kita sudah menjalankan siasatan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Usahawan kosmetik itu akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam tempoh terdekat," katanya.

Susulan itu, Ku Mashariman berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP PPN Fasa 1 yang ditetapkan kerajaan, selain berhati-hati ketika memuat naik atau berkongsi apa-apa kenyataan atau kandungan media sosial supaya tidak mewujudkan satu spekulasi negatif yang boleh mendatangkan fitnah atau kemudaratan kepada ketenteraman awam.

Berita Harian X