Sabtu, 31 Julai 2021 | 3:28pm

Suspek curi sawit maut selepas lompat dari kenderaan

BATU PAHAT: Seorang lelaki maut selepas dikatakan melompat keluar dari sebuah kenderaan di Kilometer 4, Jalan Yong Peng-Paloh, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa lelaki tempatan berusia 31 tahun, dipercayai suspek mencuri buah kelapa sawit di ladang syarikat swasta.

"Siasatan awal mendapati suspek ditangkap pengawal keselamatan syarikat ladang kelapa sawit pada jam 11 malam, Rabu lalu ketika menunggang motosikal dengan membawa dua guni berisi buah kelapa sawit.

"Suspek kemudian dibawa pengawal keselamatan dengan rakan setugasnya menggunakan kenderaan persendirian ke Balai Polis Yong Peng.

"Ketika sampai di tempat kejadian, kira-kira jam 11.50 malam, pengawal keselamatan mendakwa suspek tiba-tiba melompat keluar dari kenderaan untuk melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, pengawal keselamatan yang memeriksa suspek kemudian mendapati lelaki itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, lalu menghubungi polis.

"Pihak polis segera ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan terbaring serta tidak sedar diri di tengah jalan," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Kesihatan Klinik Kesihatan Yong Peng.

Katanya, mayat suspek dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat serta proses bedah siasat dilakukan pada jam 11.30 pagi semalam.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa keretakan di bahagian kepala suspek. Siasatan diklasfikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Beliau berkata, pengawal keselamatan yang terbabit juga sudah diambil keterangan berhubung kejadian itu.

Berita Harian X