Sabtu, 31 Julai 2021 | 12:16pm
 Dua lelaki dipercayai pengedar dadah (duduk) ditahan polis dan TLDM kerana cuba menjual dadah di kawasan PKPD Bukit Malut. - Foto ihsan polis
Dua lelaki dipercayai pengedar dadah (duduk) ditahan polis dan TLDM kerana cuba menjual dadah di kawasan PKPD Bukit Malut. - Foto ihsan polis

Polis tahan 2 pengedar dadah di lokasi PKPD

LANGKAWI: Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan ketika cuba menjual dadah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bukit Malut di sini.

Suspek yang masing-masing berusia 31 dan 37 tahun ditahan anggota polis dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam tugas rondaan di tepi jalan kawasan Bukit Malut itu pada jam 9.40 malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata sebelum itu, dua lelaki terbabit dikesan cuba meloloskan diri masuk ke kawasan PKPD.

"Hasil pemeriksaan menemukan tiga paket plastik lut sinar berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 3.71 gram, selain satu paket plastik lut sinar dan tiga tiub straw berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 4.8 gram," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Shariman berkata, kedua-dua lelaki itu bekerja sebagai nelayan dengan suspek berusia 37 tahun memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 37 tahun itu juga positif dadah jenis morfin, manakala rakannya negatif dan tiada rekod lampau.

"Kedua-dua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Berita Harian X