Jumaat, 30 Julai 2021 | 10:07pm
Polis menahan 61 individu selepas didapati melakukan penyambungan elektrik secara haram di Kampung Bawang, Kolombong. - Foto ihsan PDRM
Polis menahan 61 individu selepas didapati melakukan penyambungan elektrik secara haram di Kampung Bawang, Kolombong. - Foto ihsan PDRM

61 individu, termasuk dalang curi elektrik ditahan

KOTA KINABALU: Seramai 61 individu, termasuk tiga lelaki disyaki dalang kes curi bekalan elektrik ditahan dalam Ops Bersepadu di kawasan setinggan Kampung Bawang, Kolombong, di sini, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 5 hingga 11 pagi itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata polis menahan 39 lelaki dan 22 wanita berusia 16 hingga 60 tahun dalam operasi itu.

Katanya, turut dirampas kabel elektrik pelbagai jenis dianggarkan seberat 30 kilogram dipercayai digunakan untuk menyambung dan mencuri bekalan elektrik.

"Tiga lelaki yang disyaki menjadi dalang kepada penyambungan elektrik secara haram turut ditahan.

"Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mereka mengenakan sejumlah bayaran kepada mereka yang ingin membuat penyambungan baharu atau penyambungan semula ketika bekalan elektrik dipotong oleh SESB," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zaidi berkata, modus operandi dalang itu menggunakan teknik 'pancing' iaitu dengan cara menggantung satu cangkuk besi di kabel pencawang utama.

"Kita dapati di penempatan itu terdapat banyak wayar atau kabel dipasang secara bahaya dipelbagai sudut dan apa yang lebih menggusarkan, terdapat wayar dan kabel elektrik yang berada di takungan air.

"Semua mereka yang ditahan dibawa ke IPD Kota Kinabalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.

Berita Harian X