Khamis, 29 Julai 2021 | 10:24pm
Tuan rumah yang menganjurkan majlis kenduri nikah di rumahnya di Kampung Gajah Mati, Pokok Sena dikompaun RM4,000 kerana melanggar SOP. - Foto ihsan PDRM
Tuan rumah yang menganjurkan majlis kenduri nikah di rumahnya di Kampung Gajah Mati, Pokok Sena dikompaun RM4,000 kerana melanggar SOP. - Foto ihsan PDRM

Tuan rumah majlis kenduri nikah dikompaun RM4,000

ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 58 tahun dikompaun RM4,000 kerana mengadakan kenduri sempena majlis pernikahan di Kampung Padang, Mukim Gajah Mati, Pokok Sena, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata kompaun yang dikeluarkan itu susulan Op COVID oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar ketika melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pokok Sena, kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi.

Beliau berkata, hasil maklumat awam terdapat penganjuran majlis pernikahan sedang berlangsung di kawasan berkenaan.

"Pasukan Pemantau COVID yang menerima maklumat terus menghala ke lokasi dan mendapati sebuah rumah sedang mengadakan majlis makan.

"Majlis kenduri itu turut dihadiri beberapa penduduk kampung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, Pasukan Pemantau COVID kemudiannya mengeluarkan kompaun RM4,000 ke atas tuan rumah selaku penganjur majlis itu.

"Kompaun dikeluarkan kerana kesalahan mengikut Peraturan 4 Akta 342 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Langkah Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 1988," katanya.

Berita Harian X