Jumaat, 23 Julai 2021 | 9:57pm
Lori yang terjunam ke gaung sedalam 70 meter di Kilometer 5 Jalan Kundasang-Ranau. NSTP/Foto ihsan Bomba
Lori yang terjunam ke gaung sedalam 70 meter di Kilometer 5 Jalan Kundasang-Ranau. NSTP/Foto ihsan Bomba
Pasukan bomba menyelamatkan mangsa selepas lori dinaikinya terjunam ke gaung. NSTP/Foto ihsan Bomba
Pasukan bomba menyelamatkan mangsa selepas lori dinaikinya terjunam ke gaung. NSTP/Foto ihsan Bomba

Dua terselamat, lori terjunam ke gaung

RANAU: Seorang pemandu lori dan kelindannya terselamat selepas lori tiga tan yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam 70 meter di Kilometer 5 Jalan Kundasang-Ranau, di sini, hari ini.

Dalam nahas kira-kira jam 5 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 47 dan 50 tahun itu dikatakan dalam perjalanan menghantar barangan dari Kota Kinabalu ke Semporna.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata sepasukan tujuh anggota dan seorang pegawai dikerah ke lokasi bersama dua jentera dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebaik menerima panggilan pada jam 5.16 petang.

Katanya, sebaik tiba, kedua-dua mangsa yang cedera didapati masih berada di dalam gaung dipercayai tercampak keluar dari lori berkenaan.

"Pasukan bomba terpaksa menggunakan sistem tali dan pengusung bagi membawa naik kedua-dua mangsa ke atas jalan raya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ridwan berkata, sebaik berjaya dinaikkan, kedua-dua mangsa terus dihantar ke Hospital Ranau menggunakan EMRS dan ambulans untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X