Rabu, 21 Julai 2021 | 8:42pm
Seorang pejalan kaki dan penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di lokasi sama namun berlainan arah di Kilometer (KM) 452.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, pagi tadi. - Foto ihsan polis
Seorang pejalan kaki dan penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di lokasi sama namun berlainan arah di Kilometer (KM) 452.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, pagi tadi. - Foto ihsan polis

Dua kemalangan maut dalam sejam di KM452.9

KUALA LUMPUR: Seorang pejalan kaki dan penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di lokasi sama namun berlainan arah di Kilometer (KM) 452.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, pagi tadi.

Kemalangan pertama pada jam 8.50 pagi berlaku di lorong paling kanan lebuh raya arah ke selatan membabitkan seorang pejalan kaki warga asing dengan sebuah kereta Nissan Almera.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar, berkata siasatan awal mendapati mangsa warga Myanmar cuba melintas dari lorong kiri ke lorong kanan lebuh raya.

"Sebuah kereta dipandu seorang wanita berusia 31 tahun dipercayai tidak sempat mengelak dan merempuh mangsa menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 80 meter di lorong paling kanan lebuh raya empat lorong itu.

"Mangsa, Kyaw Naing Lin cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta cedera ringan pada tangan akibat terkena beg udara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kemalangan pertama pada jam 8.50 pagi berlaku di lorong paling kanan lebuh raya arah ke selatan membabitkan seorang pejalan kaki warga asing dengan sebuah kereta Nissan Almera. - Foto ihsan polis
Kemalangan pertama pada jam 8.50 pagi berlaku di lorong paling kanan lebuh raya arah ke selatan membabitkan seorang pejalan kaki warga asing dengan sebuah kereta Nissan Almera. - Foto ihsan polis

Shafa'aton berkata, tidak sampai sejam kemalangan pertama, berlaku pula kemalangan kedua di lokasi sama namun arah ke utara.

Kemalangan kedua kira-kira jam 9.45 pagi itu membabitkan sebuah lori jenis Mitsubishi Puso dengan dua motosikal ditunggang dua beradik yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bukit Beruntung, Rawang.

"Siasatan awal mendapati lori terbabit sedang berhenti di lorong kecemasan sebelum sebuah motosikal ditunggang Muhammad Hazirul Afiq Hairul Anuar, 24, merempuh bahagian belakang kanan lori terbabit.

"Akibat rempuhan itu, mangsa jatuh di lorong kedua kiri dan adiknya, Muhammad Hazrul Aiman, 20, yang menunggang sebuah motosikal lain di belakang hilang kawalan dan jatuh di lorong pertama kiri," katanya.

Katanya kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh namun Muhammad Hazirul Afiq meninggal dunia ketika dalam rawatan pada jam 10.20 pagi tadi, adiknya pula cedera pada tangan dan sedang dalam rawatan.

"Kita minta saksi yang melihat kedua-dua kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan polis. Selain itu, kita mohon waris atau kenalan kepada Naing Lin untuk menghubungi pegawai penyiasat.

"Saksi atau waris boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Berita Harian X