Selasa, 20 Julai 2021 | 12:45pm
Kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal merempuh belakang lori di Jalan Tun Abang Haji Openg, Sibu. semalam. - Foto ihsan polis
Kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal merempuh belakang lori di Jalan Tun Abang Haji Openg, Sibu. semalam. - Foto ihsan polis

Lelaki maut nahas, kandungan isteri gagal diselamatkan

SIBU: Seorang lelaki maut, manakala kandungan isterinya yang sarat hamil tujuh bulan pula tidak dapat diselamatkan apabila motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan di Jalan Tun Abang Haji Openg, di sini, semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 3.10 petang itu, penunggang motosikal terbabit, Roddy Dejah, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata isteri mangsa yang membonceng motosikal itu, Allina Cynthia Kilau, 17, turut mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila motosikal itu merempuh sebuah lori selepas pemandunya dikatakan memberhentikan kenderaan berkenaan di lorong kiri jalan untuk memeriksa kerosakan yang dialami.

"Motosikal ditunggang mangsa bersama isteri dari arah belakang lorong sama, dikatakan melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori itu ketika pemandunya sedang membuat pemeriksaan.

"Susulan itu, penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Sibu.

"Pembonceng yang sedang mengandung tujuh bulan pula cedera dan dibawa ke Hospital Sibu.

"Namun, mangsa perlu menjalani pembedahan susulan bayi dalam kandungannya dilaporkan turut meninggal dunia akibat kemalangan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Stanley berkata, hasil semakan setakat ini mendapati penunggang itu tidak memiliki lesen memandu dan motosikal terbabit adalah milik ibu mentuanya.

Berikutan insiden itu, beliau berkata, pemandu lori terbabit yang berusia 54 tahun, ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X