Khamis, 15 Julai 2021 | 9:03pm
Rosmah merayu untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram, sebagai ketua pasukan pendakwaan. - Foto NSTP
Rosmah merayu untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram, sebagai ketua pasukan pendakwaan. - Foto NSTP

Keputusan mohon gugur Sri Ram 9 September

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menetapkan 9 September bagi keputusan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor, membatalkan perbicaraan kes rasuah RM1.25 bilion terhadapnya, membabitkan projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram, sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan Peguam Datuk Jagjit Singh, yang mewakili Rosmah.

"Saya memerlukan masa untuk mempertimbang keputusan. Saya mencadangkan untuk memberi keputusan saya pada 9 September, pukul 9 pagi," kata hakim.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Terdahulu, Sri Ram berhujah pelantikan beliau mengikut Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dari 30 Ogos 2018 oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah.

Seksyen 376(3) memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk melantik timbalan pendakwa raya yang akan melaksanakan kuasa pendakwa raya.

Sri Ram juga berhujah Peguam Negara sekarang, Tan Sri Idrus Harun yang mengeluarkan surat undur tarikh mengenai pelantikannya pada 21 Mei, tahun ini, dapat membetulkan segala kecacatan oleh Thomas kerana Seksyen 50 (b) Akta Tafsiran 1948/1967 (Akta 388) memberi kuasa kepada mana-mana pihak berkuasa untuk membuat lantikan dengan kesan retrospektif.

ROSMAH dan Najib Razak. Foto Arkib NSTP.
ROSMAH dan Najib Razak. Foto Arkib NSTP.

"Seperti Parlimen memberikan kuasa kepada eksekutif atau pihak berkuasa pentadbiran untuk membuat pelantikan retrospektif," kata Sri Ram.

Sementara itu, Jagjit berpendapat pelantikan Sri Ram bertujuan untuk mengendalikan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak berkaitan dengan kes solar Rosmah.

"Sri Ram tidak mempunyai kuasa undang-undang atau locus standi untuk muncul dalam perbicaraan ini. Surat pelantikan beliau tiada kaitan dengan kes projek solar Rosmah," katanya.

Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pendakwaan bersetuju memberikannya kepada pasukan pembelaan.

Peguam kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Jagjit Singh hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Peguam kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Jagjit Singh hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Rosmah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lalu.

Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 Nov 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Sebaliknya surat itu bertarikh 8 Julai tahun lepas dan ditandatangani oleh Peguam Negara ketika ini, iaitu Tan Sri Idrus Harun. – BERNAMA

Berita Harian X