Isnin, 12 Julai 2021 | 8:38pm
Kesan tikaman di bahagian perut mangsa yang juga anak saudara suspek. - Foto PDRM
Kesan tikaman di bahagian perut mangsa yang juga anak saudara suspek. - Foto PDRM

Lelaki tikam dua anak saudara selepas gagal dapat wang beli dadah

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki tergamak menikam dua anak saudaranya dengan sebilah pisau, kerana terhadap keengganan kakaknya memberi wang kepadanya bagi membeli dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman @ Abdul Rahim, berkata kejadian berlaku pada jam 1 tengah hari petang semalam, selepas pihaknya menerima maklumat dari orang awam berhubung pergaduhan berlaku di sebuah rumah dekat Taman Melati, di sini.

Beliau berkata, anggota polis berkejar ke lokasi dimaklumkan oleh wanita berkenaan yang dia didatangi suspek yang juga adiknya berusia 61 tahun.

"Berdasarkan maklumat diterima, suspek dikatakan datang ke rumah terbabit dan meminta wang daripada kakaknya itu untuk membeli dadah. Permintaan itu mencetuskan pertengkaran di antara mereka apabila wanita itu enggan memberi wang kepada suspek.

"Pada masa sama, anak lelaki dan perempuan mangsa berusia 38 dan 23 tahun cuba meleraikan pergaduhan di antara ibu mereka dan bapa saudara itu, namun suspek bertindak mengeluarkan pisau dari bahagian belakang badan dipercayai dibawa dari rumahnya ke situ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anuar berkata, suspek bertindak menikam anak lelaki mangsa di bahagian perut manakala anak perempuan mangsa turut ditikam di bahagian tangan kiri.

Beliau berkata, melihatkan keadaan dua anak saudaranya itu berlumuran darah, suspek bertindak melarikan diri dari situ.

"Berikutan itu, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

"Namun selepas tiga jam laporan polis diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menyerbu sebuah rumah di Felda Sungai Tiang pada jam 4.50 petang semalam.

"Suspek berjaya ditahan dan sebilah pisau yang disyaki digunakan untuk menikam mangsa berjaya dirampas," katanya.

Anuar berkata, semakan rekod mendapati, suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Beliau berkata, siasatan lanjut juga mendapati suspek turut melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana merentas daerah tanpa kebenaran polis.

"Ujian saringan awal kencing terhadap suspek juga mendapati, dia positif dadah jenis morphine dan direman selama empat hari sehingga 15 Julai ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera," katanya.

Anuar berkata, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 5(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Kawasan Tempatan Jangkitan (LLKTJ) Fasa Pemulihan Negara 2021 kerana merentas daerah tanpa kebenaran polis yang boleh didenda RM5,000 atau penjara.

Berita Harian X